Sesungguhnya orang-orang yang
kafir akan dipanggil dan dikatakan kepada mereka (pada hari kiamat):
"Demi sesungguhnya! Kebencian Allah (kepada kamu) lebih besar daripada
kebencian kamu kepada diri sendiri, (sebabnya kerana) semasa kamu diseru
dan diajak (di dunia dahulu) supaya beriman, (kamu enggan dan menolak),
lalu kamu terus berkeadaan kufur".
Mereka menjawab: "Wahai Tuhan
kami! Engkau telah menjadikan kami berkeadaan mati dua kali, dan telah
menjadikan kami bersifat hidup dua kali, maka kami (sekarang) mengakui
akan dosa-dosa kami. Oleh itu adakah sebarang jalan untuk (kami) keluar
(dari neraka)?"
(Lalu dikatakan kepada
mereka): "Azab yang kamu berada padanya itu adalah kerana keadaan kamu
apabila Allah Yang Maha Esa sahaja diseru dan disembah, kamu kufur (dan
menolak cara bertauhid itu); dan apabila dipersekutukan sesuatu dengan
Allah, kamu percaya (dan menerima bawaan syirik itu). Maka kuasa
menjalankan keadilan adalah hak Allah, Yang Maha Tinggi (dari apa yang
dipersekutukan), lagi Yang Maha Besar (pemerintahanNya)".